S Y A Z W A N I T Y P I N G
Follow here


Occupational Safety and Health Act - OSHA ON Tuesday, August 29, 2017 AT 2:53 PM
PENGENALAN 
Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah satu isu penting dan berkait rapat dengan keselamatan dan kesihatan masyarakat serta persekitaran secara keseluruhannya. Isu mengenai keselamatan dan kesihatan menjadi agenda utama di tempat kerja. Persekitaran kerja perlu selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada pekerja. Justeru itu, Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau Department of Occupational Safety and Health (DOSH) telah menggubal satu akta pada tahun 1994 yang dinamakan Occupational Safety and Health Act (OSHA 1994). OSHA 1994 menyediakan rangka perundangan untuk memupuk, merangsang dan menggalakkan mutu keselamatan dan kesihatan yang tinggi semasa bekerja. Akta ini dibentuk untuk memberi garis panduan kepada majikan dan pekerja mengenai tanggungjawab mereka mewujudkan satu situasi kerja yang selamat dan sihat. 
SEJARAH PENUBUHAN 
Antara faktor yang membawa kepada penubuhan Occupational Safety and Health Act 1994 adalah kerana terdapatnya banyak kelemahan di dalam Akta Kilang dan Jentera 1967 dan statistik kemalangan di tempat kerja yang tinggi. Sebagai contoh, insiden letupan kilang mercun Bright Sparkler di Sungai Buloh yang berlaku pada 1994 yang mengakibatkan berpuluh-puluh pekerja terperangkap dan terkorban di dalam insiden tersebut. Di bawah Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, ianya merupakan salah satu tanggungjawab majikan untuk mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan para pekerja ketika bekerja dan juga orang lain yang turut berada di kawasan tersebut. Akta ini dikawalselia oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dari Kementerian Sumber Manusia dan dibahagikan kepada limabelas b ahagian iaitu Permulaan (Preliminary), Perlantikan Pegawai (Appointment of Officers), Majlis Negara bagi Keselamatan & Kesihatan (National Council for OSH) , Kewajipan Am Majikan & Orang Yang Bekerja Sendiri (General Duties of Employers and Self-Employed Persons), Kewajipan Am Perekabentuk, Pengilang & Pembekal (General Duties of Designers, Manufacturers and Suppliers), Kewajipan Am Pekerja (General Duties of Employees), Organisasi Keselamatan & Kesihatan (Safety and Health Organizations), Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan & Penyakit Pekerjaan & Siasatan (Notification of Accidents, Dangerous Occurrence, Occupational Poisoning and Occupational Diseases and Inquiry), Larangan Terhadap Penggunaan Loji atau Bahan (Prohibition Against Use of Plant or Substance), Tataamalan Industri (Industry Codes of Practice), Penguatkuasaan & Penyiasatan (Enforcement and Investigation), Liabiliti bagi Kesalahan (Liability for Offences), Rayuan (Appeals), Peraturan-peraturan (Regulations), dan Pelbagai (Miscellaneous). 
DASAR PENUBUHAN 
Antara dasar-dasar yang menyebabkan penubuhan Occupational Safety and Health Act 1994 ialah kerana terdapat kelemahan dari aspek perlindungan di dalam Akta Kilang Dan Jentera 1967 .Skop akta yang hanya melindungi industri pembuatan sahaja. Dan juga disebabkan oleh statistik atau indikator kemalangan dalam industri berada pada tahap yang membimbangkan .Di samping memastikan setiap tenaga kerja mendapat hak dan perlindungan diri dari segala bentuk ancaman serta cabaran yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan di sektor berkenaan.
TUJUAN DAN SKOP 
Tujuan utama Occupational Safety and Health Act 1994 adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja, melindungi orang-orang di tempat kerja selain daripada orang-orang yang sedang bekerja, mengalakkan suatu persekitaran pekerjaan yang bersesuaian dengan fisiologi dan psikologi orang-orang yang sedang bekerja, mengadakan suatu sistem perundangan yang berasas kepada peraturan-peraturan dan tata amalan industri disamping peruntukan Akta. Secara ringkasnya, akta ini bertujuan untuk menjamin keselamatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga kepada orang lain yang berada di tempat kerja.Orang lain tersebut merujuk kepada tetamu atau sesiapa sahaja yang mempunyai urusan dengan organisasa berkenaan. Manakala skop akta ini antara lain adalah merangkumi dan melindungi semua orang yang bekerja dalam semua aktiviti ekonomi termasuk perkhidmatan awam, badan berkanun dan sektor swasta kecuali mereka yang bekerja di atas kapal perdagangan, angkatan tentera. Sektor-sektor yang dirangkumi akta ini adalah sebagaimana peruntukkan dinyatakan dalam jadual pertama di bawah seksyen 1(2) iaitu pengilangan, perlombongan dan kuari, pembinaan, pertanian, perhutanan dan perikanan, kemudahan elektrik, gas, air dan perkhidmatan kebersihan, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi, perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran, kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun.
FUNGSI JAWATANKUASA 
Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) yang dibentuk mempunyai beberapa fungsi seperti yang ditetapkan oleh seksyen 31, Occupational Safety and Health Act 1994 iaitu: 
  • Sentiasa mengkaji semula langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan orang di tempat kerja; 
  • Menyiasat perkara yang tidak selamat atau sihat yang dibangkitkan oleh pekerja; 
  • Menyelesaikan perkara yang dirujuk dalam perenggan (b) dan jika tidak berupaya berbuat demikian, memohon Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan membuat siasatan. 

Sementara itu Peraturan 11, Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, telah menyenaraikan beberapa lagi fungsi-fungsi lain Jawatankuasa. Antara fungsi dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan olehnya disenaraikan seperti berikut: 
  • Membantu dalam pembuatan/pembentukan program dan kaedah keselamatan dan kesihatan dan sistem kerja yang selamat; 
  • Mengkaji semula keberkesanan program keselamatan dan kesihatan; 
  • Menjalankan kajian keatas trend kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian merbahaya, keracunan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja; 
  • Memberitahu atau melaporkan kepada majikan tentang sebarang jenis amalan dan keadaan yang tidak selamat atau tidak sihat; V. Mencadangkan pemulihan untuk amalan dan keadaan yang tidak selamat; 
  • Mengkaji dan menyemak semula dasar/polisi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta membuat cadangan kepada majikan bagi penyemakan dasar/polisi berkenaan. 

PRINSIP 
  • Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 dirangka berdasarkan enam prinsip iaitu: 
  • Pencegahan kemalangan adalah sebahagian daripada aspek penting pengurusan dan kemahiran yang baik. 
  • Pihak pengurusan dan pekerja mestilah bekerjasama dalam memastikan tempat kerja bebas daripada sebarang kemalangan. 
  • Penglibatan pihak atasan adalah diutamakan dalam memimpin perlaksanaan keselamatan di tempat kerja. 
  • Dasar/Polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah dirangka dan diketahui oleh semua pekerja di tempat kerja. 
  • Organisasi dan sumber yang perlu hendaklah dibangun dan disediakan bagi menyokong ke arah kesihatan dan keselamatan pekerjaan.
  • Pengetahuan dan kaedah tersedia yang terbaik digunakan. 

PENUTUP 
Dengan penguatkuasaan OSHA, dunia pekerjaan dan perindustrian di Malaysia telah memasuki era baru dengan perhatian yang serius diberikan kepada keselamatan dan kesihatan para pekerja. Kewujudan akta ini yang diperkenalkan kerajaan hingga ke hari ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu menyediakan suasana kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja terhadap pekerja tetapi sesiapa sahaja yang berada di tempat kerja

Labels: , , ,




Older Post | Newer Post