S Y A Z W A N I T Y P I N G
Follow here


SOLAT BERJEMAAH ON Thursday, June 8, 2017 AT 1:22 PM

Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam.
Sabda Nabi SAW: "Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat" (HR Bukhari dan Muslim) 
Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum.Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam.Bagi Mazhab Syafie hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah hukumnya sunat muaakad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah solat fardu lima waktu, solat hari raya, solat sunat tarawih dan solat sunat witir. Tetapi bagi sembahyang Jumaat, ia wajib dikerjakan secara berjemaah.

Syarat-syarat sah solat berjemaah: 

  • Berniat mengikut/menjadi imam (untuk solat Jumaat sahaja, dan tidak diwajibkan bagi solat-solat yang lain).
  • Mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh imam. 
  • Tiada dinding yang menghalangi antara imam dan makmum, kecuali bagi makmum perempuan di masjid hendaklah dibataskan dengan kain. 
  • Tidak mendahului imam dalam takbir dan tidak pula melambatkannya. 
  • Tidaj mendahului imam dalam rukun-rukun sembahyang. 
  • Kedudukan imam ialah di hadapan makmum, sekurang-kurangnya di takat tumit. Makmum tidak boleh berada di hadapan atau sebaris dengan imam. 
  • Solat makmum harus sama dengan solat imam, misalnya sama-sama solat Zuhur, Jumaat, qasar, jamak dan sebagainya. 
  • Makmum lelaki tidak mengikut imam perempuan. 
Semasa berniat, seseorang itu disunatkan menambah perkataan makmuman (makmum lelaki), makmumatan (makmum perempuan), imaman (imam lelaki) atau imamatan (imam perempuan) selepas menyebut solat yang ingin dilakukan.Solat seseorang itu tetap sah walaupun tidak berniat menjadi imam/makmum, melainkan ketika solat Jumaat. 

Antara syarat untuk menjadi imam: 
Bacaannya lebih baik daripada bacaan makmum. 
Seseorang itu bukan sedang mengikut atau menjadi makmum kepada imam lain. 
Imam itu sudah mumaiyiz. 

Terdapat sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 
“Imam ialah yang menanggung pembacaan, apabila baik pembacaannya maka pahala untuk dirinya dan untuk mereka (makmum) dan jika rosak pembacaannya maka dosanya ialah di atas dirinya sendiri, dan bukannya atas mereka (makmum).” 
Dalam solat berjemaah bersama satu makmum, maka makmum itu kedudukannya di sisi kanan imam, asalkan tidak terkehadapan ataupun sebaris dengan imam. 

Sekiranya hanya ada satu makmum dalam solat berjemaah, dan makmum pertama sedang berdiri di tepi kanan imam, lalu disertai pula seorang lagi makmum, maka imam disyaratkan maju ke hadapan atau makmum yang pertama berundur belakang (tidak melebihi tiga langkah) ke saf bersama makmum kedua.

Masbuq

Masbuq ialah apabila makmum ketinggalan dalam solat berjemaah.
Contoh: apabila seseorang makmum memasuki solat jemaah, lalu ia takbiratul-ihram dan mendapati imam sedang rukuk, maka perlu makmum mengikuti rukuk imam itu dengan tanpa wajib menyelesaikan rukun fatihah.

Dari hadis: Dari Hasan dari Abu Bakrah, dia sampai kepada Nabi saw, ketika Nabi sedang rukuk, maka dia rukuk sebelum sampai kepada saf. Hal itu disampaikan kepada nabi, maka Nabi berkata, “Semoga Allah menambah semangatmu tetapi jangan diulangi lagi.” (H.R. Bukhari)

Sabda Rasulullah saw: "Apabila seseorang diantara kamu datang (untuk) solat sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakat. Barangsiapa yang mendapati rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu rakaat."(H.R. Abu Daud).

Dari hadis di atas, maka difahamilah bahawa orang yang mendapatkan rukuk dianggap telah mendapatkan satu rakaat, biarpun tanpa sempat menyempurnakan rukun fatihahnya. Sekiranya makmum sempat mengikuti rukuk imam dengan sempurna (sekadar dapat menyentuh lutut) sebelum imam bangun untuk iktidal, dikira makmum sudah mendapat rakaat ("muwafiq"). Jika makmum tidak sempat menyempurnakan rukuk, atau makmum memasuki solat sesudah imam rukuk (iaitu semasa sujud, atau duduk tahiyyat dan sebagainya) maka tidaklah dikira ia mendapat rakaat itu ("masbuq").

Sekiranya makmum hanya sempat masbuq di tahiyyat akhir, tidaklah ia perlu membaca doa dalam tahiyyat akhir kerana doa tahiyyat itu disunatkan hanya untuk orang yang bertasyahhud akhir. Makmum yang masbuq itu juga diperbolehkan duduk iftirasy seperti di dalam rakaat kedua. Setelah solat berakhir dan imam memberi salam, maka makmum itu perlulah bangun dan menyelesaikan solatnya dengan menambah rakaat yang tertinggal.

Jika makmum sedang takbir lalu imam memberi salam, maka makmum ditegah duduk kerana duduk itu mengikut imam, dan imam telahpun selesai solatnya. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya maka batallah sembahyang itu.

Dalam solat Subuh, makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya di rakaat keduanya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang tadi.

Dalam solat Jumaat pula, sekiranya makmum sempat mendapat rakaat kedua dengan ia sempat rukuk bersama imam, maka dikira ia mendapat solat Jumaat itu dan hanya perlu menyelesaikan jumlah dua rakaat sahaja. Tetapi sekiranya makmum tidak sempat rukuk dalam rakaat terakhir solat Jumaat, maka ia dikira solat Zuhur dan perlulah menyempurnakan jumlah empat rakaat.

ISTIKHLAF

Istikhlaf bererti imam digantikan oleh salah seorang daripada makmumnya (lalu menjadi imam) bagi menyempurnakan sembahyang mereka, disebabkan keuzuran imam pertama itu. Jika imam keluar daripada sembahyangnya disebabkan berhadas, atau biarpun dengan tiada sebab, adalah diharuskan bagi salah seorang makmum menggantikannya. 

Hadis: "Ketika Nabi SAW sedang sakit tenat, datang Bilal untuk memberitahu Baginda tentang sembahyang. Maka Nabi SAW menyuruhnya supaya mengatakan kepada Abu Bakar agar mengimami orang ramai. Saya berkata: "Abu Bakar adalah seorang lelaki yang penyedih dan jika dia berdiri mengambil tempatmu (sembahyang), dia akan menangis dan tidak mampu membaca Al-Qur’an." Nabi SAW bersabda: "Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami sembahyang." Saya pun mengatakan hal yang sama seperti di atas. Beliau (mengulangi perintah yang sama) pada ketiga atau keempat kalinya Baginda bersabda: "Kamu adalah (macam) sahabat-sahabat Yusuf. Suruhlah Abu Bakar untuk mengimami sembahyang."Maka Abu Bakar mengimami sembahyang.Kemudian Nabi SAW datang dengan bantuan dua orang lelaki; seakan-akan baru saja aku melihat Baginda memijakkan kakinya ke tanah.Pada waktu Abu Bakar melihatnya, dia mencuba untuk berundur tetapi Nabi SAW memberi isyarat kepadanya untuk tetap sembahyang.Abu Bakar berundur sedikit dan Nabi SAW duduk di sebelah kirinya.Abu Bakar memperdengarkan takbir kepada orang ramai." (HR Bukhari)
Disyaratkan bagi makmum yang menggantikan imam itu adalah pengganti (khalifah/mustakhlif) yang sah menjadi imam kepada jemaah yang lain. Jika imam itu diganti oleh makmum yang kurang fasih dalam bacaan fatihah (ummiyan), atau orang bisu, atau orang yang tidak jelas bacaannya seperti mendengungkan pada tempat yang tidak dengung serta mengubah bacaan, maka tidak sah sembahyang makmum yang lain jika mengikutinya, kerana ia tidak sah menjadi imam.

Disyaratkan juga imam itu diganti oleh makmum yang berada di saf pertama betul-betul di belakang imam. (nota sampingan: makmum saf pertama di belakang imam adalah juga bertanggungjawab untuk menegur imam di kala kesilapan bacaan dan perbuatan solat dengan isyarat bacaan "Subhanallah")

Imam yang keluar itu hendaklah keluar dengan tertib, sekurang-kurangnya beralih ke kirinya jika tiada luang kosong untuk ia mundur. Kemudian makmum yang mengganti imam itu hendaklah pula maju ke hadapan dengan tidak lebih dari dua pergerakan langkah. Tempatnya yang kosong di saf hendaklah pula diisi oleh makmum lain, sama ada di sebelah atau di belakang, juga dengan tidak lebih dari dua pergerakan langkah.

Istikhlaf hendaklah dilakukan dengan serta-merta.Jika imam keluar daripada jemaah sedangkan makmum telahpun lanjut melakukan satu rukun, maka ditegah penggantiannya selepas itu. Juga ditegah penggantiannya jika makmum tersebut diam terlalu lama dengan kadar berlalunya satu rukun, sama ada rukun fi‘li (perbuatan) atau rukun qauli (percakapan). Sekiranya didapati tiada sesiapa yang maju menggantikan imam, maka makmum diperbolehkan mufaraqah (berpisah) dari berjemaah dan meneruskan solat bersendirian.

Tidak disyaratkan ke atas makmum dalam istikhlaf untuk berniat lagi untuk menjadi makmum, kerana mustakhlif (pengganti) itu sudah dalam kedudukan imam yang awal. 

Cara Istikhlaf Dalam Sembahyang 

 Apabila seorang mustakhlif menggantikan imam dalam sembahyang yang sama atau bilangan rakaat yang sama, maka sah penggantian tersebut di mana-mana rakaat pun kerana mustakhlif itu mengikuti tertib imam sebelumnya dan tidak membawa kepada percanggahan.

Adapun jika diganti oleh seorang yang di luar sembahyang (mustakhlif bukan daripada kalangan makmum, dan terus masuk menjadi imam), maka menurut pendapat Imam Nawawi dan jumhur ulama adalah diharuskan istikhlaf dengan syarat mustakhlif tersebut menggantikan imam pada rakaat pertama, atau rakaat ketiga (pada sembahyang yang empat rakaat) kerana tidak akan bercanggah dengan tertib makmum yang mengikutinya. Jika berlaku percanggahan dalam tertib, maka tidaklah diharuskan istikhlaf. Contohnya ialah apabila seorang yang di luar sembahyang mengganti imam pada rakaat kedua atau rakaat terakhir, dan dia (pengganti) itu akan bangun berdiri bagi rakaatnya yang pertama sedangkan makmum yang lainnya duduk tahiyyat awal (atau tahiyyat akhir) di rakaat mereka.

Jika makmum yang masbuq menggantikan imam yang keluar daripada jemaah hendaklah dia menjaga tertib imam tersebut, sebagaimana perbuatannya jika imam belum keluar daripada jemaah. Sebagai contoh, jika makmum yang masbuq pada rakaat kedua dalam sembahyang subuh, kemudian imam itu berhadas lalu diganti oleh makmum yang masbuq itu, maka makmum yang menggantikan itu hendaklah menjaga tertib imam pertama dengan menyambung perbuatan sebagaimana yang perlu dilakukan di dalam rakaat kedua dalam sembahyang subuh iaitu berqunut, duduk dan bertasyahud biarpun pada asalnya dia baru melakukan satu rakaat. Selepas itu baharulah mustakhlif yang masbuq itu bangkit semula (tanpa salam) untuk menggenapkan solat dua rakaatnya, lalu berqunut lagi pada rakaat keduanya itu bagi dirinya sendiri sahaja (doa qunut bersendirian dan bukan qunut berjemaah). Para jemaah yang mengikuti mustakhlif yang masbuq tersebut ada dua pilihan pada tahiyyat akhir tadi iaitu sama ada berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) dan terus memberi salam, ataupun duduk menunggu mustakhlif itu dan memberi salam bersama-samanya.

Makmum-makmum masbuq yang bangkit semula untuk menyempurnakan sembahyang mereka setelah sempurna solat berjemaah adalah diperbolehlah kepada salah seorang daripada mereka yang masbuq itu untuk maju ke hadapan menjadi imam dan makmum masbuq yang lain itu boleh mengikutinya. Istikhlaf sebegini adalah diharuskan kecuali dalam sembahyang Jumaat kerana tidak harus mendirikan lagi sembahyang Jumaat selepas selesai dikerjakannya.

Istikhlaf Dalam Sembahyang Jumaat

Apabila imam keluar selepas membaca dua khutbah dan sebelum mengangkat takbiratul ihram bagi sembahyang Jumaat, adalah diharuskan menggantikannya jika mustakhlif itu juga turut menghadiri khutbah. Jika ia tidak menghadiri khutbah maka dia tidak diharuskan mengganti imam itu.

Jika imam keluar daripada sembahyang selepas mengangkat takbiratul ihram pada rakaat pertama sembahyang Jumaat dan sebelum rukuk di rakaat kedua, adalah harus dia diganti oleh mustakhlif yang bersama imam sebelum imam keluar daripada jemaah itu, kerana mustakhlif itu dikira tergolong dalam ahli Jumaat. Jika ia tidak bersama imam sebelum dia keluar daripada sembahyang, maka tidak diharuskan ia mengimamkan sembahyang itu kerana dia tidak tergolong dalam ahli Jumaat.

Manakala jika imam itu keluar selepas rukuk dalam rakaat kedua sembahyang Jumaat, imam tidak harus diganti oleh mustakhlif yang tidak bersama imam sebelum dia keluar daripada jemaah.Akan tetapi jika mustakhlif itu bersama imam sebelum imam keluar daripada jemaah tetapi dia tidak bersama imam sebelum rukuk pada rakaat kedua (mustakhlif masbuq), maka difardhukan ke atas mustakhlif itu sembahyang Zuhur.

Makmum yang bersembahyang Jumaat diharuskan pula mengikuti mustakhlif yang difardhukan ke atasnya sembahyang Zuhur itu.Akan tetapi hendaklah mustakhlif itu menjaga tertib imam yang awal. Manakala makmum yang mengikutinya ada dua pilihan, antara memberi salam dengan niat mufaraqah atau makmum menunggu mustakhlif dan memberi salam bersamanya. Cara ini adalah yang lebih afdhal dilakukan.

Labels:




Older Post | Newer Post